Tettt…
Tettt…
Tettt…
Sudah sebulan dan hanya bunyi itu sahaja yang menyapa pendengarannya. Tubuh zaujah kesayangannya itu masih kaku dengan mata terpejam rapat seolah-olah sedang
lena dan berada di alam yang duduknya entah di mana.
“Sayanggg,” bisiknya perlahan. Jemari yang masih terkulai layu itu digenggam semakin kemas dan sesekali dikucup dengan sepenuh kasih sayang. “Dah lama abang tak dengar suara sayang, tak lihat senyuman cantik sayang dan tawa manja sayang. Bangunlah… Abang rindu.” Suara berbisik semakin sayu. Jemari itu dikucup lagi dengan esakan kecil yang mula menyapa.
“Abang...”
“Abang...”
Terdengar suara lembut umi menyapa, laju kepalanya dipalingkan ke sebelah. Wajah wanita separuh umur itu dipandang dengan senyum nipis di bibir. Senyum yang antara segan atau sayu untuk dipamerkan.
“Umi...” Perlahan sapaan itu dibalas walau sebenarnya mulut semakin berat untuk bersuara. Mata yang masih basah segera diseka.
“Abang dah makan?” Bahu anak lelaki kesayangan itu diusap. Melihat wajah sayu dan hampir tidak terurus itu, dia tahu apa yang Anas rasa. Hati mana yang tidak tersentak dan hiba melihat keadaan isteri yang longlai dan layu tidak bermaya begitu? Tetapi inilah ujian yang Allah hadirkan buat Anas. Benarlah semakin kita berpegang teguh kepada ajaran- Nya, semakin kuat ujian yang akan diberikan untuk menguji sejauh mana kita reda dan ikhlas menerima semua ujian tersebut. Dia juga tahu Anas reda walau jauh di sudut hati Anas menanggung sakit yang tidak terucap.
Kepala digeleng.
“Kenapa tak makan? Kalau abang terus macam ni, umi takut abang yang sakit nanti. Kalau Khalida sedar dan nampak keadaan abang yang tak bermaya macam ni, tentu dia sedih. Abang nak tengok isteri abang sedih?” pujuk umi dengan suara yang ditahan-tahan. Hati ibu mana yang sanggup melihat derita yang ditanggung oleh insan yang disayanginya begitu. Walaupun hatinya pedih, hati Anas
tentu lebih terseksa lagi.
“Abang tak lapar lagi, umi. Pagi tadi abang dah makan. Cukuplah untuk alas perut abang sementara tunggu Khalida di sini,” balasnya lembut.
“Janganlah macam ni. Semua orang risaukan abang. Kami semua sayangkan abang dan kami tak nak abang sakit. Abang makan, ya?” Hajah Noraini masih belum jemu memujuk.
“Yalah, umi. Sekejap lagi abang makan.” Akhirnya dia kalah. Kalah dengan pujukan lembut umi yang begitu tunak mengusik hati.
Hajah Noraini terus duduk. Betul-betul di sebelah Anas. “Doktor cakap apa tentang Khalida?” Mata terus terarah pada wajah yang pucat tak berdarah di hadapannya itu.
Anas terdiam. Kepala ditundukkan dan perlahanlahan nafas kecil dilepaskan. “Keadaan Khalida tetap sama, umi. Jawapan doktor juga masih sama. Bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku,” ucapnya hiba. Mata yang sudah mula digenangi air jernih pantas diseka.
“Berdoa, abang. Semoga aturan Allah lebih indah daripada apa yang disampaikan oleh manusia. Percaya akan kekuasaan-Nya. Dia lebih mengetahui apa yang kita tidak pernah tahu.” Jemari Anas diraih dan digenggam untuk ditenangkan.
Anas mengangguk. “Abang tahu, umi. Abang reda walau apapun yang akan berlaku nanti. Walaupun doa abang tak henti-henti memohon supaya Khalida buka mata dan pandang abang dengan senyum manisnya seperti selalu, tetapi jika Allah berkehendak kepada yang lain, abang reda,” ucapnya sebak. Air mata yang ditahan terus jatuh. Perlahan dan akhirnya laju tanpa mampu ditahan-tahan lagi.
“Abang...” Hajah Noraini turut tidak dapat menahan rasa. Pegangan tangannya dilepaskan dan bahu
anak lelakinya itu diusap-usap untuk ditenangkan.
Anas masih begitu. Tersenggut-senggut menahan tangis daripada terhambur kuat. Kepalanya terus dipaling memandang wajah pucat lesi di hadapannya itu. Wajah yang selalu ceria itu sudah hilang serinya. Bibir yang lincah bersuara itu juga terkatup dan terkunci rapat seolah-olah sudah jemu untuk berbicara dengannya. Nur Khalida kesayanganku, bangunlah dan sedarlah, bisiknya berkali-kali
bersama tangis yang masih juga tidak mahu berhenti.
“Abang… Istighfar. Ingat Allah.” Bahu Anas diusap-usap untuk ditenangkan.
Tersentak mendengar pujukan umi, nafasnya dihela dan dia terus beristighfar. Allah… Aku reda… Ya Allah, sesungguhnya aku reda walau apapun yang telah Engkau takdirkan. Aku reda Ya Allah kerana sesungguhnya hidup mati kami terletak di tangan-Mu.
Sayangku Nur Khalida, andai setakat ini perjalananmu di bumi Allah, abang reda. Andai setakat ini
Allah pinjamkanmu untuk abang, abang ikhlaskan. Pergilah… Pergilah jika keredaan dan keikhlasan abang yang menghalang perjalananmu ke alam abadi, bisiknya dengan seikhlas hati.
Tettt!
Tettt!
Tettttttt!