Followers

Tuesday 31 May 2016

Sesal Separuh Nyawa

Assalamualaikum... :)

Lama dah tak berblog...lama juga blog ni kena sita sebab tuannya tak ada masa nak upload apa2... hehe..sebenarnya banyak yang nak cerita tapi kita up satu2 ya... kita mulakan dengan novel ke 9...  teruskan baca... kikiki

Okeylah tak nak cerita panjang2 cuma nak kongsi tentang Novel Sesal Separuh Nyawa...novel yang diadaptasi dari drama bersiri yang disiarkan di Hyyptv sepanjang Januari - Mac 2016. Novel sendiri belum ada rezeki nak adaptasi jadi kita adaptasilah drama orang... haha..

Cerita lapok??? hehehe...memang dah lama pun malah dah habis pun siarannya di saluran hyyp tapi novelnya masih tetap berlegar dipasaran... so, silalah dapatkan kalau belum ada... Hik2

Jomlah kita tengok gambo jer... jari jemari ni tak sempat nak menaip banyak2... layanzzzzz....

Ohmaigad...awat gemuk naaaa penulisnya....nangis!
















to be continue... :)

Untuk Terakhir Kali







Sambil membetulkan duduk, beg sandang yang diletakkan di sebelahnya dicapai. Tidak menunggu, isi di dalamnya diambil dan terus dikeluarkan.
"Untuk awak." Ucapnya dengan senyum manis terukir di bibir. Kotak bersaiz sederhana besar yang dibalut kemas dengan sampul bercorak ros merah dan diikatkan reben berwarna merah jambu itu terus dihulurkan kepada Dahlia di hadapannya.
"Apa ni?" Tidak terus menyambut huluran Nazril, Dahlia bertanya. Lelaki itu dipandang dengan dahi berkerut. Tidak ada angin, tidak ada ribut tiba-tiba dia dihadiahkan sesuatu. Pelik!  
"Hadiah untuk awak." Lembut Nazril membalas dengan riak yang masih seperti tadi.
"Birthday saya lagi tiga bulanlah. So, hadiah ni sempena sambutan apa?" balasnya dan kening dijungkit. Tinggi. 
Nazril senyum lagi. "Birthday present in advance." Ucapnya.
“Birthday present in advance?” Dahlia menggeleng. "Ermmm…tak nak. Awak beri saya masa birthday saya nanti." Kotak tersebut ditolak kembali kepada tuannya. 
"Kalau sampai waktunya  nanti saya tak sempat jumpa awak dan berikan hadiah ni macam mana?" Suara Nazril sudah berubah perlahan. Riak di wajahnya  juga turut berubah sedikit keruh.
Dahlia betulkan duduk. Beg tangan dipangkuannya dikemaskan letaknya. Kenapa Nazril nampak berbeza hari itu? Walaupun dia kelihatan tenang dan seperti biasa tetapi air mukanya seolah menyembunyikan sesuatu.  "Awak nak ke mana?" soalnya.
Perasan akan air muka Dahlia yang sudah berkerut seribu itu, Nazril tersenyum semula. "Mungkin ke bulan atau ke bintang." Selorohnya. Kening dijungkit nakal.
"Naz!" Dahlia menjerit geram. Nazril dijeling. Tajam.
"Paling tidak pun saya akan kembali ke fitrah. Kembali ke tanah semula." Ucapnya perlahan. Kepala terus ditundukkan memandang rumput di kaki.
Dahlia mendengus. Tangan dipelukkan ke tubuh. "Naz, boleh tak jangan cakap macam tu?" marahnya. Suka cakap perkara yang bukan-bukan. Marahnya dalam hati. 
Perlahan-lahan nafas dihela. Renungan tajam dahlia dibalas dengan senyum nipis di bibir. "Hidup lawannya mati. Jangan pernah lupa tu." Pesannya mengingatkan.  
"Saya tahu tapi tak payahlah awak asyik cakap perkara yang sama je setiap kali kita jumpa." Bidas Dahlia masih dengan riak wajah yang sama.
Nazri terdiam. Pandangannya dibuangkan ke arah langit yang agak mendung ketika itu. Melihat burung-burung berterbangan bebas diudara, entah kenapa tiba-tiba hatinya menjadi sayu. Dia ingin terus bebas begitu tetapi masih adakah waktu seperti itu lagi untuknya? Dia ingin menggapai bahagia tetapi masih sempatkah untuk dia merasainya?  
"Naz, awak ada sembunyikan sesuatu dari saya?" Soal Dahlia melepaskan apa yang bersarang di hatinya sejak tadi. Wajah itu, senyum itu seolah hilang sinarnya. Tetapi kenapa?
Laju Nazril gelengkan kepala.  "Tak. Mana saya berani nak sorokkan sesuatu daripada orang yang saya sayang." Senyum dipamer  dan wajah ayu di hadapannya itu dipandang lagi.
Dahlia mencemik. Tak habis-habis bercakap tentang sayang tetapi selalu mengingatkannya untuk mencari lelaki yang lebih baik untuk dijadikan teman hidup. Cuba jangan diucap kata-kata sayang kalau ianya sekadar untuk buat dia perasan! 
“Saya suka tengok awak buat muka macam tu. Nampak comel dan saya akan simpan kemas dalam memori saya setiap riak wajah yang pernah awak pamerkan selama ini. Untuk saya kenang sampai bila-bila.”
Dahlia terdiam. Bulu romanya tiba-tiba merinding mendengar kata-kata yang diucapkan Nazril sebentar tadi. Setahunya sejak perkenalan mereka, Nazril tidak pernah mengungkapkan kata-kata manis seperti itu. Bicaranya selalunya bersahaja dan selamba sesuai dengan sikap nakalnya.
“Naz, awak buat saya seram. Betul ke awak ni Nazril yang saya kenal atau hanya jelmaan?” soalnya dengan mata terkebil-kebil memandang Nazril.
Tawa Nazril terus terhambur. Kepalanya digeleng. “Lia, awak ingat saya hantu? Atau vampire macam novel kesukaan awak tu….ermmm…Edward Cullen?” selorohnya.
Sekali lagi Dahlia mencemik. “Kalau nak samakan awak dengan Edward Cullen tu memang jauh panggang dari apilah.” Ejeknya. “Tapi Naz, seriously awak nampak lain hari ni. Kata-kata awak….ermmm…pelik. Air muka awak…tak seceria selalu.”
“Kehidupan yang membuatkan kita berubah.”
“Saya tak faham..”
“Anggapkan saja emosi saya tak stabil hari ni sebab itulah awak nampak saya berbeza.”
Dahlia menggeleng. “Tak. Saya sangat pasti ada sesuatu yang tak kena.” Tegasnya.
Nazril terus berdiri. “Jom kita balik. Hari ni saya hantar awak balik.”
“Naz...”
“Saya okey Lia. Tak ada apa-apa yang tak kena. Kalau ada pun, itu adalah kerana Allah sayangkan saya sebab itulah Dia aturkan sesuatu yang lebih baik buat saya.” Pintas Nazril mematikan bicara Dahlia. “Dah jom. Tentu awak tak nak balik lambat kan?” sambungnya lagi.
Sedar Nazril tidak mahu berkongsi dengannya, akhirnya Dahlia akur. Dia terus berdiri dan beg tangannya disankutkan ke bahu. Dengan perasaan yang masih berbaur, langkah lelaki itu diekori.

******************************************************************************
            Petang ni kita jumpa – Naz

Mesej Whatsapp kiriman Nazril dibaca dan bibir mula menguntum senyum. Tidak menunggu mesej tersebut terus dibalas.
            Ok tapi nak jumpa dekat mana? – Lia
Butang send dihantar.
            Nanti saya ambil awak dekat office. - Naz
Senyum terukir lagi. Hurm..tak payah susah-susah cari teksi. Bisiknya.
Ok. Tapi jangan awal sangat. Saya ada kerja urgent nak kena selesaikan. Awak datang pukul 6 ya. – Lia
Banyak songehlah awak ni. Tapi demi awak, saya rela.. J - Naz
Membaca mesej tersebut, wajah Dahlia terus berubah. Hurm…kadang-kadang bicara lelaki itu selalu membuat hatinya terusik tetapi sehingga kini tidak pernah pula Nazril mengungkapkan kata-kata tentang cinta. Demi tuhan dia keliru. Siapa dia di hati Nazril sebenarnya? Soalnya sambil garu kepala. Malas hendak perasan sendiri, mesej lelaki itu terus di balas.
Jangan nak poyo sangat. Rela konon..lepas tu nanti membebel tak berhenti. Uwekkkkk! – Lia
Hahahaha…tak sabar nak jumpa awak. Entah kenapa hari ni rasa rindu sangat dengan awak. Cepatlah pukul 6. – Naz
Dahlia terkedu lagi. Rindu? Matanya digosok. Manalah tahu tiba-tiba matanya rabun hingga tersilap membaca perkataan tersebut. Tapi…eh betullah! Bisiknya sambil tutup mulut. Nazril rindukan dia? Rasa macam hendak melompat-lompat di saat itu juga kerana teruja. Tetapi apabila memandang sekeliling, kepala digeleng. Gila kau Lia nak melompat dalam pejabat macam kera? Bebelnya.
Dalam keadaan berdebar, hatinya cuba ditenangkan dan duduknya dibetulkan. Tetapi entah dimana silapnya tiba-tiba dia terus jatuh terjelepok di atas lantai.
“Mak kau!” Jeritnya dan punggungnya digosok. Gila betullah. Memang tak guna punya kerusi! Marahnya.
“Kau kenapa?”  Tegur Azie yang duduk di sebelahnya sambil mengekek ketawa. Melihat Dahlia yang sedang bersusah payah hendak bangun ketika itu, semakin galak dia ketawa.
Dahlia mendengus. Azie dijeling. Tajam. “Kerusi ni rosak rasanya. Haish! kata kerusi baru.” Bebelnya dan terus duduk semula.
“Bengong kau ni. Ada pulak kerusi tu yang kau salahkan.” Azie sambung tawa. 
Malas hendak membalas kutukan rakan sekerjanya itu, Dahlia terus menyambung kerjanya. Sebelah tangannya pula masih sibuk menggosok punggung yang masih terasa sakit. Ini Naz lah punya pasal! Bebelnya. Teringatkan Nazril, laju telefon bimbitnya dicapai semula.
            Lia….- Naz
            Lia… - Naz
            Lia… - Naz
Ya Allah…entah apa yang Nazril fikir tiba-tiba dia senyap membisu. Paling tidak pun mesti lelaki itu akan tersenyum nakal dan sedang mengutuk sekarang.
            Saya sibuk sekarang. Nanti awak dah sampai bawah office saya, mesej ya. Bye.  – Lia
Fuh! Dahi dikesat. Macamlah ada peluh! Poyo betullah kau ni Lia. Bisiknya mengutuk diri sendiri.

******************************************************************************

Selamat pagi sayangku
Apa khabar dirimu
Maafkan andai menggangu lenamu
Andai pernah melukakan
Maafkan ku tak sengaja
Harus kau dan aku selalu bicara
Kau tahu kau satunya
Ku mahu kita selamanya
Kau dan aku
Mungkin tak sempurna
Kau dan aku
Tahu takkan mudah
Kau dan aku
Mahukan sempurna
Kau dan aku
Mengharap bahagia
Setia aku
Demi dirimu
Setia aku
Hanya padamu
Andai hatimu berubah
Pastiku cuba fahami
Tetap ku melangkah terus berani
Kau tahu
Kau satunya

Nazril yang sedang bermain gitar sambil menyanyi kecil ketika itu diperhati. Aduhlah, makin lama kenapa dia nampak lelaki itu semakin memikat? Wajah tenangnya. Senyum manisnya. Gelak tawanya. Haish…boleh penasaran dia dibuatnya. Lia, boleh tak jangan over sangat? Jangan nak terlebih perasan juga. Ingat, kau dengan dia hanya, KAWAN! Hati kecilnya berbisik mengingatkan diri sendiri.
“Lia…”
“Lia…” Tangan digawang-gawangkan di hadapan gadis itu. Pelik, mata terbuka tetapi macam sedang lena. Dipanggil sedari tadi langsung tidak menyahut.
“Lia!” panggilnya agak kuat. Bahu gadis itu dicuit.
Diperlakukan begitu, Dahlia tersentak. “Iya…iya…” dalam keadaan kalut panggilan Nazril dibalas. Ya Allah, kau berangankan apa Lia! Rosak anak Pak Haji Mail sorang ni. Haih! Memalukan betul.
“Kenapa? Dari tadi tak berkelip pandang saya? Sedap sangat saya nyanyi?”  Nazril tersengih. Gitar di tangannya terus diletakkan ke sebelah.
“Ehemm…mana ada pandang awak. Saya.. saya…haaa..saya tengah fikirkan tentang kerja saya dekat pejabat.”  Dalihnya menyimpan malu. Duduknya dibetulkan dan pandangannya terus dibuangkan ke arah kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan tersebut. Cover Lia…cover!
Nazril simpan tawa. Gelihati melihat reaksi Dahlia ketika itu.
“Rindulah kat awak.” Bisiknya sambil kepala dirapatkan ke telinga gadis itu. Tidak terlalu dekat tetapi cukuplah untuk suaranya didengari,
Dahlia tersentak. Dan akibat terlalu terkejut, sekali lagi dia jatuh terduduk. Kali ini di atas rumput pula.
“Lia!” Nazril bingkas bangun dan duduk mencangkung di hadapan gadis itu. “Awak ni cuailah. Kalau saya tak ada nanti macam mana?” bebelnya dan lengan gadis itu yang beralas blouse lengan panjang terus ditarik untuk berdiri.
Dengan riak tersipu-sipu, Dahlia tersengih. “Terrrrrjatuh.” 
“Saya baru cakap rindu. Kalau saya cakap I love you?” Nazril jungkit-jungkitkan kening.
Dahlia tergamam. Tubuhnya terasa longlai semula. Baru sahaja dia ingin rebah lagi, cepat sahaja Nazril memaut tangannya sambil tergelak. “Lia…Lia…” kepala digeleng.
Malu ditertawakan begitu, tangannya yang masih di dalam pautan Nazril segera ditarik dan lelaki itu dijeling.
“Duduk..” suruh Nazril dan dia terus duduk.
Dahlia akur dan ikut duduk.
“Minggu depan birthday Lia kan?” Nazril menyambung bicara.
Senyap.
“Naz ambil Lia dekat rumah. Kita dinner sama-sama malam tu.”
Dahlia masih diam tak bersuara. Hanya matanya sahaja yang terkebil-kebil memandang Nazril di sebelah.
“Heiii…” hujung tudung Dahlia ditarik. Perlahan. Penat dia bercakap sedari tadi tetapi Dahlia hanya buat muka blur di situ.
“Hurmmm… okey.. boleh..mana-mana ajelah.” Teragak-agak Dahlia membalas. Kenapalah dengan dia sekarang? Cuba jangan jadi macam orang bodoh sangat Lia! Marahnya kepada diri sendiri.
Sekali lagi tawa Nazril terhambur. Lia…Lia…comel sangat muka tu. Bisik hatinya.
“Okey, saya ambil awak pukul 8.30 malam ya. Pakai lawa-lawa. Saya ada sesuatu nak beritahu awak malam tu.” Senyum terukir pula. Lebih manis dari biasa.
Tidak menjawab, Dahlia hanya mengangguk sahaja. Melihat senyuman Nazril, terus kelu bibirnya hendak bersuara. Debaran di dada juga tiba-tiba terus lari dari rentaknya. Haish! rosak kau ni Lia!


******************************************************************************
Telefon bimbit di tangan direnung. Bukan baru seminit dua tetapi sudah hampir satu jam dia begitu. Dahi pula sudah mula berkerut semakin dalam. 
"Mana Nazril?" Soalnya dalam hati. Sejak malam tadi telefon lelaki itu cuba dihubungi tetapi jawapannya tetap sama. Talian diluar kawasan. Nazril ke mana? Bukankah mereka sudah berjanji untuk bertemu malam ini untuk meraikan hari lahirnya yang ke 25 tahun? Nazril terlupa atau sengaja hendak mengenakannya? Mengenali lelaki itu dia tahu Nazril tidak pernah serius. Tetapi sejak kebelakangan itu, Nazril sudah banyak berubah.  
Dari duduk, dia terus bangun nak berjalan menuju ke cermin kaca di ruang tamu. Pandangan dibuangkan keluar untuk melihat sekiranya kereta Myvi Kuning lelaki itu ada di luar. Hampa!
Nombor telefon Nazril di dail lagi. Masih jawapan yang sama dan keluhan kecil dilepaskan. 
"Kalau awak tak nak sambut hari lahir saya bersama, tak perlulah awak melarikan diri macam ni. Lagipun awak yang berjanji!" Ucapnya kecewa dan terus berbaring di sofa. Langsung tidak menghiraukan pakaian dan tudung yang sudah tersarung kemas di tubuh. Sedang leka melayan perasan kecewa, dia terus terlelap. 
"Happy birthday sayangku Lia." 
Terdengar sayup-sayup ucapan itu di telinganya, Dahlia tersentak dan terus terbangun. Jam dipergelangan tangan dikerling. Tepat jam dua pagi. Entah kenapa, tiba-tiba hatinya terasa sesuatu. Rasa berdebar, cemas dan takut. Telefon bimbit yang terletak elok di atas sofa dicapai dan terus disentuh skrinnya. Kosong. Tiada miss called ataupun mesej yang diterima. Nafas dihela dan tidak menunggu nombor telefon Nazril di dail. Ada deringan. Lama dia menunggu tetapi tidak bersambut. Di dail lagi dan akhirnya panggilannya berjawab.
"Assalamualaikum." Ucapnya perlahan.
Salamnya dijawab tetapi kenapa suara perempuan? Dada sudah mula berdegup laju. Isteri Nazril kah? Habis! Mesti perang besar Nazril nanti. Eh! Tapi Nazril kan belum berkahwin? 
"Saya....saya..." ucapnya teragak-agak. 
"Dahlia, kan?" 
Tergamam, suara terus tidak keluar dari kerongkong. Macam mana perempuan itu tahu namanya? Ya Allah, Lia tentulah tahu. Dah sah-sah nama kau akan tertera di skrin telefon Nazril. 
"Ini Dahlia kan?" Perempuan itu bertanya lagi.
"Ermmm..ya..ya...saya."
"Naz tak ada tapi dia ada tinggalkan sesuatu untuk Lia." 
Senyap lagi. Apa maksud dia, Naz tak ada? Naz pergi mana? Soalnya bingung.
"Ermmm...Naz tak ada kemana?" Dada berdegup lagi.
 "Macam ni, esok pagi saya pergi rumah Lia. Saya nak pergi malam ni tapi kami masih sibuk. Saya jumpa Lia esok ya." Suara perempuan itu tiba-tiba bertukar sayu. 
Dahlia semakin bingung namun dia akur. "Okey, tahu rumah saya dekat mana?" 
"Tahu.." 
“Okey, saya tunggu.”

******************************************************************************

"Saya, Nadrah. Adik Nazril. Adik paling bongsu." 
Dahlia angguk dan bersalaman dengan gadis yang muda hanya 3 tahun darinya itu. Gadis cantik yang lengkap berjubah berwarna hitam itu dipandang. Tak  berkelip.
"Naz mana? Dari semalam saya cari dia. Saya call dia pun dia jawab." Dia terus bertanya. 
Tiba-tiba Nadrah terus menangis. Teresak-esak. 
"Nadrah." Dahlia bungkam. Dalam keadaan teragak-agak, bahu gadis itu diusap. “Kenapa ni?” soalnya. Perlahan.
"Abang dah tak ada!" Tangisannya terhambur lagi. Lebih kuat dari tadi. 
“Maksudnya?” soalnya tidak mengerti.
“Abang dah tak ada, kak Lia.” Nadrah membalas dalam esakan.
Dahlia terkaku. Air mata yang tidak tahu dari mana datangnya terus tumpah. 
"Abang sakit teruk pagi semalam. Dia kata dia dah tak mampu nak bertahan lagi. Dia kata dia rasa sakit sangat..." Kata-kata Nadrah terhenti. Air matanya semakin laju menitis ke pipi. "Dah dekat setahun abang berperang dengan cancer dan semalam abang terus rebah. Kami dah cuba buat bermacam-macam untuk selamatkan abang tapi Allah lebih sayangkan abang dan dia meninggal selepas asar dalam keadaan yang sangat tenang." Cerita Nadrah lagi. 
Dahlia terus terduduk. Dia cuba untuk melepaskan esakan tetapi suaranya tersekat. Hanya air matanya sahaja yang laju membasahi pipi. 
"Abang tinggalkan ni untuk awak." Nadrah hulurkan satu beg kertas di tangannya. 
Dahlia mendongak dan huluran Nadrah di sambut dengan tangan terketar-ketar. 
"Saya pergi dulu." Ucap Nadrah dan terus beredar. 
Sebaik Nadrah hilang dari pandangan, beg kertas yang dihulurnya tadi terus dibuka. Satu kotak hadiah yang sama seperti pemberian Nazril 3 bulan lepas dikeluarkan dan air mata menitis lagi. Di saat itu juga kata-kata Nazril ketika itu terngiang-ngiang di telinga. 
"Kalau sampai waktunya  nanti saya tak sempat jumpa awak dan berikan hadiah ni macam mana?"
"Naz..." ucapnya sayu bersama titisan air mata. 
Isi di dalam beg kertas tersebut dilihat. Sepucuk surat dan seekor patung beruang memeluk sebentuk hati berwarna merah dikeluarkan. Tidak menunggu surat tersebut terus dibuka dan mula dibaca.

Assalamualaikum sayangku Dahlia, 

Seorang perempuan yang cantik dan lembut seindah bidadari...

Lia, kali pertama mata saya terpandangkan Lia, saya sudah jatuh cinta. Hati saya terpaut dengan ketulusan hati dan senyuman manis yang selalu Lia pamerkan. 

Sejak kita kenal, hati saya begitu teringin untuk memiliki Lia. Mengucapkan kata-kata cinta supaya Lia tahu apa adanya di dalam hati saya. Tapi kata-kata itu tak mampu untuk saya ucapkan kerana saya bukan selayaknya untuk memiliki Lia. 

Lia, semakin hari saya rasa masa saya semakin hampir. Saya cuba bertahan tetapi saya dah tak mampu. Sakitnya tak tertanggung Lia. Demi tuhan, saya rela kalau dia ambil nyawa saya sekarang tapi...saya masih berharap sebab saya ingin terus bersama Lia. Saya tahu itu impian yang sia-sia kerana ianya takkan mungkin mampu saya gapai. 

Maafkan saya kerana gagal memenuhi janji saya. Lagi dua hari tarikh harijadi Lia tapi saya sudah terlantar lesu diperbaringan. Maafkan saya, Lia....saya cuba untuk kuatkan diri tapi penyakit yang ada ditubuh saya tidak mengizinkan... apa yang mampu saya lakukan hanyalah menyampaikan ucapan bisu untuk tatapanmu, sayangku Lia..

Selamat hari lahir, Dahlia... aku cintakan kamu malah terlalu cinta.... 

Andai aku rebah dan tidak bernyawa lagi, ketahuilah cintaku ini akan ku bawa hingga ke akhir nyawa... 

Sehabis membaca bingkisan tersebut, tangisan Dahlia terus terhambur. Kuat. 
"Naz!" Raungnya dengan sekuat hati. 




Tanya Dia Tentang Cinta - Bab 4 - Aturkan Jodoh






PUTERI mencapai telefon bimbit di atas meja dan nombor Adif terus didail. Kedengaran lagu Anuar Zain, Ajari Aku, beralun nyaring di telinganya. Dasar mamat jiwang. Bila dituduh macam tu, tak nak mengaku! kutuknya sambil tersengih. Nampak bukan main ganas, tapi hati penuh bunga. Nasib baik tak lembut macam agar-agar, Dif. Gelak Puteri pula. Lama menunggu, akhirnya panggilannya bersambut. “Kau kat mana?” soal Puteri dengan nada suara yang sudah naik seoktaf.

“On the way, dear. Baru melepasi jammed ni.” Kedengaran tegang suara Adif di telinganya.

“Takkan datang rumah aku pun jammed? Nampak benor tipunya!” bebel Puteri lagi dengan cemikan.

“Entah ada perarakan apa depan tu tadi. Stres aku! Dah dekat sejam aku sangkut,” bebel Adif sambil melepas keluhan.

“Perarakan orang kahwin eh?” gelak Puteri lagi.

“Entah, orang mati kut!”Bila suara Adif sudah kedengaran agak keras, tahulah dia Adif sedang bengang. 

“Hurm...” keluh Puteri pula. Hanya itu yang mampu terluah dari bibirnya. Lagipun, kalau dah jammed, nak buat macam mana. Hadaplah kau Dif walau kau tak suka.

Adif mengeluh lagi. Sesak dengan keadaan itu. “Sorry, Chem, aku tahu aku dah lambat, tapi rasanya lagi 15 minit aku sampai kut,”

“It’s okaylah Dib, nanti aku beritahu papa dan mama yang kau on the way. Dia orang mesti tak kisah punya.”

“Malulah nak jumpa bakal mentua macam ni. Dah janji, tapi lambat.”

“Ngek kau jumpa mentua!” balas Puteri dengan suara sedikit tinggi.

Adif tergelak lepas.

“Betullah, dear.”

“Perasanlah kau! Dah, tak payahlah nak merapu. Cepat sikit, aku dah lapar ni.” Lancar saja Puteri membebel.

Gelak Adif semakin menjadi-jadi. “Kereta aku kereta cabuk aje tuan Puteri oii... Nak cepat macam mana?”

“Banyaklah kereta cabuk! Civik tulah nok!” balas Puteri kasar. Dengan Adif, bahasanya memang tak pernah dijaga. Adif pula tak pernah kisah dia bergurau kasar begitu.

Makin besar gelak Adif mendengar kutukan Puteri. “Civik pun zaman tok kaduk punyalah, dear.”

“Dah! Dah! Tak payah nak buat lawak antarabangsa dengan aku. Lawak kau tak laku kat aku.” Cepat Puteri membidas.

“Kejap lagi aku sampai. Kau jangan makan dulu, nanti tak ada siapa nak teman aku,” balas Adif dengan gelak yang masih bersisa.

“Yalah, tahulah aku. Lagipun, macam tak biasa. Poyo betul!” bebel Puteri lagi.

Kedengaran kuat Adif mengekek.

“Okeylah, tak nak kacau kau drive. Apa pun take care, nanti jadi apa-apa kau salahkan aku pulak.”

“Thanks, dear.”

Puteri tersenyum dan talian terus dimatikan.

Encik Syed Rahman mengangkat kening sebaik anak gadisnya itu duduk di hadapannya.

“He’s on the way.” Puteri bersuara mengerti maksud pandangan mata papanya itu.

Encik Syed Rahman mengangguk. Pandangannya ditalakan ke arah buku bacaannya semula.

“Kenapa Adif lambat? Selalunya tak pernah lambat,” soal Puan Syarifah Zainora pula.

“Sangkut jammed.” Selamba Puteri membalas sambil jemarinya ligat menekan remote TV di tangan.

“Nak ke rumah kita pun jammed?” soal Puan Syarifah Zainora dengan gelak kecil di bibir.

“Entah, dia kata ada perarakan masa on the way tadi. Chem pun tak tanya. Malas.”

“Perarakan bersih tu kut,” sampuk Encik Syed Rahman tiba-tiba.

Puan Syarifah Zainora berpaling memandang suaminya. “Tak sudah-sudah lagi dengan kerja-kerja membersih tu ya,” sinis Puan Syarifah Zainora bersuara.

Encik Syed Rahman hanya berdeham sahaja. Malas  hendak memanjangkan cerita agaknya. Isu sensitif tu!

“Puteri, cuba duduk elok-elok sikit. Tak senonoh anak dara duduk macam tu!” tegur Puan Syarifah Zainora agak keras apabila melihat anak gadisnya duduk berbaring di sofa satu seat dengan kakinya menjulur di tepi tebing meletak tangan sambil digoyangkan kedua-dua kakinya. Seronok sangat agaknya mendengar lagu Korea yang sedang ditayangkan di kaca TV ketika itu sampai kakinya turut digerakkan mengikut irama lagu tersebut.

“Puteri!” jerit Puan Syarifah Zainora apabila tegurannya tidak diendahkan.

“Alah, ma, bukan terkangkang pun.” Selamba Puteri membalas. Kakinya masih digoyang-goyangkan seperti tadi. Langsung tidak ambil kisah teguran mamanya.

Puan Syarifah Zainora menggeleng. Anak gadisnya itu dijeling dengan ekor matanya. Memang jenis kuat menjawab! Dia terus bangun untuk menuju ke dapur. Sampai sahaja di sisi Puteri, kaki anak gadisnya itu ditepuk.

“Maa...” Puteri terjerit kecil.

Langkah Puan Syarifah Zainora terhenti. “Duduk elok-elok!”

Puteri mendengus sambil tarik muka. Duduknya dibetulkan. Itu pun tak boleh. Bukan ada orang lain pun! bebelnya dalam hati.

“Melawan!” sergah Puan Syarifah Zainora sambil bukalangkah. Tahu benar perangai anak gadisnya  itu.

“Mana adalah,” nafi Puteri bersungguh walau memang betul pun dia melawan.

Encik Syed Rahman yang memerhati sedari tadi hanya tersenyum sahaja. Kepalanya digelengkan. Isteri dan anak gadisnya memang begitulah. Pantang berjumpa, pasti ada saja yang digaduhkan, tapi kalau senyap saja, tak meriah pula hidupnya.



“APA KHABAR uncle. Maaf, lambat,” sapa Adif mesra sambil tangan Encik Syed Rahman disalami.

“Alhamdulillah sihat. Jammed teruk ke?” tanya Encik Syed Rahman dengan senyum terukir di bibir.

“Agak teruk jugaklah. Tak bergerak langsung.” Bersungguh Adiff bercerita.

Encik Syed Rahman tergelak. “Itulah orang kalau tak ada kerja cari kerja. Menyusahkan orang lain aje. Dah, mari masuk.”

Adif hanya tersengih saja dan terus mengekor langkah lelaki separuh umur di hadapannya itu.

“Kau duduk dulu eh, aku tolong mama aku kat dapur jap,” ucap Puteri sebaik Adif duduk di sofa, menghadap papanya.

Tidak menjawab, Adif hanya mengangguk sahaja dengan bibir menguntum senyum.

Encik Syed Rahman cuma mampu menggeleng sahaja. Kasar sangat bahasa anak gadisnya itu kedengaran ditelinganya. Beraku dan berkau begitu. Bukan tidak pernah ditegur, tapi tegurannya langsung tidak diendahkan. Puteri, Puteri... Dibuatnya Adif tu macam sepupu-sepupu dia saja,
padahal Adif tu enam tahun lebih tua daripadanya.

“Puteri beritahu uncle, Adif baru balik dari Dubai. So, famili apa khabar?” soal Encik Syed Rahman ramah.

Adif tersenyum. “Alhamdulillah, umi dan abi saya sihat.”

Encik Syed Rahman mengangguk. “Lama ke balik sana?”

“Seminggu aje, uncle. Tak dapat cuti panjang,” 

“Tak apa, yang penting dapat jengah famili. Sudahlah duduk jauh.”

Adif mengangguk mengiakan.

“Pa, makanan dah siap!” laung Puteri dari ruang makan.

Encik Syed Rahman berpaling dan menggeleng. Main laung-laung sahaja.

Mengerti riak yang Encik Syed Rahman tunjukkan, Adif simpan senyum. Dia sudah biasa sangat dengan perangai Puteri seperti itu.

“Mari Dif,” ajak Encik Syed Rahman lembut dan terus bangun daripada duduknya.

Tidak menjawab, Adif hanya mengangguk sahaja dan turut bangun.

“Makan, Dif,” pelawa Puan Syarifah Zainora sebaik suaminya, Adif dan Puteri mengambil tempat duduk masing-masing.

Adif tersengih dan mengangguk.

“Amboi, ma, pelawa Adif aje ke. Chem yang depan mata mama ni mama tak pelawa pun,” celah Puteri sambil tarik muka.

“Pelawa Puteri buat apa, selalu makan tak payah pelawa, pandai aje nak ambil sendiri,” balas Puan Syarifah Zainora selamba, sengaja mengusik anak gadisnya itu.

Puteri mendengus. Encik Syed Rahman tergelak kecil. Adif tersengih.

“Usah dilayan mak dan anak tu, Dif. Memang begitulah selalunya. Tapi, kalau tak bergaduh, sunyi pulak rumah uncle nanti,” seloroh Encik Syed Rahman sambil membuang pandang ke arah anak muda di sebelah kanannya itu.

Adif turut tergelak kecil. Dia faham sangat. Dengan perangai Puteri yang keanak-anakan itu, memang seronok ajak bergaduh. Dia pun selalu mengusik semata-mata hendak bertikam lidah.


“NAH, HADIAH untuk kau.” Selamba dan tidak bernada Adif menuturkan kata-katanya. Bungkusan di tangannya dihulurkan ke arah gadis itu.

Puteri mendongak, kemudian tersengih. Huluran Adif disambut.

“Thank you.” 

“Dapat hadiah, sengih,” kutuk Adif sambil simpan senyum.

“Eh! Of course. Bukan senang kau nak bagi hadiah. Kau tu jenis kedekut!” bidas Puteri pula.

Adif tergelak kecil. “Bukan kedekutlah, dear, tapi kalau nak bagi sesuatu, biarlah benda tu jenis yang susah nak dapat dan boleh meninggalkan kenangan,” balasnya membela diri.

Puteri mencemik. “Kenangan konon,” kutuknya pula. Selama ni aku cuma dapat kotak muzik antik dengan ukiran kristal berbentuk hati, sebuah lukisan tangan seorang perempuan sedang bermain piano, itu pun bersaiz A4 yang dibingkaikan dengan bingkai perak. Manakala yang lain-lain cuma key chain negara-negara yang kau singgah, Dif. Kenanganlah sangat! bebelnya dalam hati.

“Betul apa. Okey, kalau tiba-tiba aku mati, bukankah barang-barang yang aku bagi kat kau selama ni akan jadi kenangan? Cuba kalau aku bagi perfume, lepas kau habis pakai kau buang aje botolnya. Kalau aku bagi beg atau anything similar, bila dah rosak, mesti kau buang. So, no memories at all, sebab itulah aku bagi something yang kau akan simpan dan sayang.” Panjang lebar Adif mempertahankan apa yang diperkatakan tadi.

“Alah, bukannya kau nak mati esok pun.” Selamba Puteri membalas.

Adif menggeleng. “Dear, mati ni boleh berlaku bila-bila masa aje tau. Masa aku tengah bercakap dengan kau ni, kalau tiba-tiba Allah nak tarik nyawa aku, matilah aku. So, tak baik cakap macam tu. Dah lupa maksud perkataan kunfayakun yang pernah aku terangkan dulu?” soal Adif mengingatkan.

Puteri terdiam, terus mati kata-kata hendak membalas. Sedar diri kerana dah terlepas kata. Dengan pak ustaz sorang nimemang jangan diajak berbalah. Memang kalahlah dia. Suasana terus menjadi hening tiba-tiba.

“Bukalah hadiah tu,” suruh Adif lembut. Sengaja hendak memancing suara gadis yang sudah mula membisu di hadapannya itu. Puteri kalau ditegur bab-bab agama, memang macam tu. Dari mulut yang  macam bertih jagung, terus jadi macam orang bisu.

Puteri akur. Kotak empat segi kecil yang dibungkus itu dibuka. Sebaik melihat isi kandungannya, Puteri terus berpaling memandang Adif.

“Suka tak dengan hadiah aku tu?” soal Adif sambil tersenyum.

Puteri tersenyum nipis. Kepalanya dianggukkan perlahan.

“Macam tak suka aje,” duga Adif apabila melihat riak Puteri yang sudah mula berubah.

“Suka! Suka! Suka!” Berpatah-patah Puteri menjawab.m Sengih pula bukan main lebar lagi.

“Batu pada kerongsang tu adalah batu Ruby. Warna merah tu melambangkan cinta dan aku sentiasa berdoa semoga kau akan bertemu cinta sejati yang kau cari selama ini.” Adif berbicara lembut, menerangkan maksud hadiah pemberiannya itu.

Puteri memandang Adif tajam. Tersentuh pula hatinyadengan kata-kata lelaki itu. “Kenapa bagi aku barang mahal macam ni?”

Adif tergelak kecil. “Aku bagi barang murah, kau marah. Aku bagi barang mahal pun kau marah. Habis tu macam mana aku nak buat dear?” usik Adif dengan tawa yang masih bersisa.

Puteri mencemik.

“Cakap sikit nak marah. Tegur sikit nak merajuk. Nasib baik kau tu bukan awek aku. Kalau tidak, tinggal tulang aje aku sebab terpaksa layan awek yang perangai macam-macam,” usik Adif lagi.

Ringan saja tangan Puteri melayang ke bahu lelaki di hadapannya itu. Kuat mengutuk!

“Aduh! Sakit, dear!” jerit Adif perlahan. Bahunya diusap-usap.

Puteri tarik muka.

“Okey, okey... Sorry. Senyumlah, buruk muka kau kalau kau buat macam tu. Sudahlah muka kau memang tak pernah cantik di mata aku,” pujuk Adif sambil mengusik.

“Adif!” jerit Puteri geram. Muncungnya ditarik semakin panjang. Bahu Adif ditepuk berkali-kali melepaskan sakit hati.

Adif tergelak. Kedua-dua tangannya diangkat seolah-olah meminta ampun.

“Sorry... sorry...” ucapnya dengan gelak yang masih bersisa, namun perlakuan Puteri dibiarkan sahaja.

Puteri mengejek menyampah. Tawa Adif kedengaran lagi. Lama sebelum dia melepaskan nafas perlahan.

“Simpan pemberian aku tu baik-baik.” Perlahan Adif bersuara mengingatkan.

“Aku tahulah. Barang yang kau beri walau ada yang cikai, aku tetap simpan,” balas Puteri selamba.

Adif tersenyum. “Good.”

“Famili kau apa khabar?” soal Puteri tiba-tiba.

Adif berdeham perlahan, kemudian mengangguk. “Alhamdulillah, semuanya sihat.”

Puteri merenung Adif lama. Lain benar kedengaran nada suara Adif ketika itu. Macam ada masalah sahaja.

Adif jongketkan kening apabila direnung begitu.

“Adif, aku nak tanya kau. Dah lama aku nak tanya.” Teragak-agak Puteri bersuara. Bibirnya digigit resah.

Adif mengangguk lagi. “Tanyalah.”

Duduknya dibetulkan. Adif dipandang semakin tajam.

“Kenapa setiap kali aku tanya tentang famili kau, kau macam tak suka? Kenapa bila aku nak ikut kau balik Dubai, kau tak bagi? Ada apa-apa yang tak kena ke?”Tidak berselindung Puteri bertanya. Sudah lama dia ingin bertanyakan tentang hal tersebut, tetapi tidak terluah. Setiap kali perihal keluarga ditanyakan, Adif pasti akan melencongkan jawapannya ke perihal lain.

Adif terdiam sambil pamer senyum nipis. Nafasnya dihela perlahan. Gadis di hadapannya itu dipandang lagi. “Famili aku okey dan bukan aku tak suka kau tanya, cuma tak ada apa-apa yang menarik untuk aku kongsikan...” Kata-kata Adif terhenti seketika. Pandangannya dibuangkan ke sekeliling sebelum memandang Puteri semula. “Chem, aku bukan tak bagi kau ikut aku balik sana, tapi aku takut kau tak selesa. Famili aku jenis yang concern tentang agama. Aku harap kau faham,” sambung Adif lagi. Bukan dia nak kata Puteri jahil agama, tapi penampilan gadis itu yang agak moden sangat tidak sesuai untuk dibawa bertemu keluarganya.

Puteri terdiam dan terus tarik muka. Adif memang kedekut. Aku cuma nak berjalan-jalan ke Dubai aje, bukannya nak berkenalan dengan famili kau. Lagipun, tak ada pasal aku nak berkenalan dengan keluarga kau pun! bebelnya dalam hati.

“Dear, janganlah macam ni,” pujuk Adif lembut.

Puteri buat bodoh. Sengaja malas hendak melayan.

“Chem, kau ni merajuk macam aku ni kekasih kau aje,” usik Adif cuba mengembalikan suasana yang sudah mulaikeruh.

Puteri mencemik. Lidahnya dijelirkan. “Kekasihlah sangat!”

Adif tergelak dan kepalanya digelengkan. Chem, Chem…



“KALAU DIIKUTKAN hati saya, nak aje saya kahwinkan budak berdua tu.” Tiba-tiba Puan Syarifah Zainora bersuara sebaik melabuhkan punggungnya dan duduk di sebelah suaminya.

Encik Syed Rahman memandang isterinya tidak berkelip. Cermin matanya ditanggalkan.

“Kahwinkan siapa?”

“Puteri dan Adif.”

Encik Syed Rahman lepaskan tawa. “Apa awak cakap ni Zai? Budak-budak tu berkawan baik aje selama ni, jangan awak pulak nak memandai.”

“Memandai apanya bang. Mesra bukan main lagi saya tengok tu,” ucap Puan Syarifah Zainora bersungguh-sungguh. “Tergelak-gelak. Bertepuk tampar. Tak mesra lagi ke tu?”sambungnya lagi.

“Mesra apanya kalau panggil pun kau-aku,” bidas Syed Rahman pula. Cermin matanya dipakai semula.

Puan Syarifah Zainora mendengus. Geram dengan riak selamba suaminya itu. Dia serius, tapi kata-katanya dibuat main-main.

“Abang tak suka ke dengan budak Adif tu?” Sengaja Puan Syarifah Zainora bertanya.

“Mana ada abang cakap abang tak suka. Abang suka sangat. Sebab dialah Puteri berubah.” Perlahan sahaja Encik Syed Rahman membalas. Nafasnya dihela. Puteri yang dulu dan sekarang, sudah banyak berubah dan dia sangat bersyukur dengan perubahan itu. Semuanya kerana Adif.

“Dah tu, salah ke kalau kita kahwinkan budak berdua tu?” asak Puan Syarifah Zainora lagi.

“Tak salah, Zai, tapi Adif tu entah suka atau tak dengan anak awak yang brutal tu. Lagipun, Akbar ada risik-risik tentang Puteri. Kalau Puteri masih belum berpunya, dia berkenan untuk dijodohkan dengan Ziyad,” terang Encik Syed Rahman tentang lamaran tak rasmi daripada sahabatnya, Datuk Akbar.

Puan Syarifah Zainora terdiam. Suami di sebelahnya direnung tajam.

“Kenapa? Tak suka?” soal Encik Syed Rahman apabila isterinya hanya terdiam tak berkutik.

Laju Puan Syarifah Zainora menggeleng. “Bukan, bukan saya tak suka, tapi nak ke si Puteri tu? Dia bukannya kenal pun dengan Ziyad.”

“Lepas kahwin, boleh kenal-kenal.” Selamba Encik Syed Rahman membalas.

“Abang, perkara nikah kahwin ni jangan main-main. Kalau Puteri bantah macam mana?”

“Abang belum beri kata putus lagi, Zai. Walau apa pun abang kena tanya Puteri jugak. Tapi abang yakin, Puteri takkan melawan cakap abang kalau abang tanya dia tentang perkara ni.Untuk kebahagiaan dia jugak. Lagipun, Ziyad tu baik budaknya,” balas Encik Syed Rahman panjang lebar.

“Itu kata abang, tapi perasaan anak abang tu macam mana?”

“Zai, janganlah risau. Saya tahulah macam mana nak cakap dengan Puteri nanti. Kalau dia setuju, alhamdulillah. Kalau dia menolak, takkan saya nak paksa.”

“Ikut suka abanglah. Anak abang, kan.”

Encik Syed Rahman tergelak kecil melihat isteri yang sudah tarik muka di sebelah.

“Bukan anak awak jugak ke Puan Syarifah Zainora?” soal Encik Syed Rahman, mengusik.

“Memang anak saya, tapi abang yang lebih-lebih manjakan dia sampai cakap saya pun kadang-kadang dia tak nak dengar,” rajuk Puan Syarifah Zainora perlahan. Memang betul pun. Kata-katanya bukan Puteri ambil kisah sangat. Kalau dengan suaminya, semuanya diiakan saja oleh anak gadisnya  itu.

“Hai, lain macam aje bunyinya tu,” ucap Encik Syed Rahman dengan senyum mengusik di bibir.

Malas hendak melayan suaminya, Puan Syarifah Zainora terus bangun dan beredar dari situ.

“Hurm... merajuk?” tegur Encik Syed Rahman sambil tersengih.

Puan Syarifah Zainora mencemik. “Tak kuasa nak merajuk dengan abang.”

Encik Syed Rahman tergelak besar dan terus bangun daripada duduknya. Jemari isterinya diraih.

“Awak ni, dah tua-tua kalau merajuk pun masih lagi nampak cute,” pujuk Encik Syed Rahman lembut.

“Encik Syed Rahman dah buat tabiat? Tak malu kalau anak nampak?” bebel Puan Syarifah Zainora sambil menjegilkan matanya. Tiba-tiba suaminya hendak bermanja pula.

“Kalau nampak pun apa salahnya. Isteri abang, kan?” Encik Syed Rahman masih lagi begitu. Manja sahaja riaknya.

“Abang...”

“Ehem!”

Belum sempat Puan Syarifah Zainora menghabiskan kata-katanya, terdengar suara Puteri berdeham di muka pintu. Mereka berpaling ke arah pintu. Melihat anak gadis yang sedang tersengih memandang mereka, cepat-cepat Encik Syed Rahman melepaskan pegangan tangannya.

“Nampaknya macam Chem akan dapat adik lagi aje ni,” usik Puteri dengan sengih lebar di bibir. Sengaja menyakat kedua-dua orang tuanya itu.

Adif menyinggul lengan Puteri agak kuat. Memang tak sayang mulut betul minah sorang ni. Selamba badak sahaja nak bercakap. Dengan orang tua kut!

Encik Syed Rahman tergelak. Puan Syarifah Zainora sudah tersipu-sipu malu.

“Kau ni kenapa?” marah Puteri diperlakukan begitu.

Adif jegilkan mata. Puteri mencemik dan masih buat riak selamba.

“Nak dapat adik apa lagi? Papa dan mama dah expired dah. Sekarang ni nak timang cucu aje. Ha, Puteri bila lagi?” usik Encik Syed Rahman, memulangkan kata-kata anak gadisnyaitu. Puteri  dipandang dengan senyum lebar di bibir.

Puteri tarik muka. Adif pula sudah simpan senyum. Padan muka. Tak pasal-pasal kau yang kena! kutuknya dalam hati.

“Adif dah nak balik ni.” Malas hendak melayan usikan papanya itu, Puteri terus mengubah topik perbualan mereka tadi. Niat hendak mengusik, rupa-rupanya dia yang diusik. Hesy!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...